Followers

Thursday 3 December 2009

Kisah Pasir

Kisah Pasir

Dari mata airnya yang nun jauh di gunung sana, sebatang sungai mengalir melalui apa pun di tebing dan lembah, akhirnya sampai padang pasir. Selama ini ia telah berjaya mengatasi apa jua halangan, dan sekarang berusaha pula menakluki halangan yang satu ini. Tetapi setiap kali sungai itu cepat-cepat melintasinya, airnya segera lenyap di pasir.

Sungai itu sangat yakin bahawa ia ditakdirkan menerusi padang pasir itu, namun ia tidak dapat mengatasi masalahnya. Lalu, terdengar suara tersembunyi yang berasal dari padang pasir itu. Bisiknya, “Angin boleh menyeberangi padang pasir. Dengan menyeberang seperti yang kau lakukan itu, jelas kau tak akan berhasil. Kau hanya akan lenyap atau jadi paya-paya. Kau harus mempersilakan angin membawamu menyeberangi padang pasir, ke tempat tujuan.”

Tetapi bagaimana caranya? “Dengan membiarkan dirimu terserap angin.”

Gagasan itu tidak dapat diterima Si Sungai. Bagaimana pun, sebelum ia sama sekali tidak pernah terserap. Ia tidak mahu kehilangan dirinya. Dan kalau dirinya itu lenyap, apakah dapat dipastikan akan didapatinya kembali?

“Angin, “ kata Si Pasir, “menjalankan tugas semacam itu. Ia membawa air, membawanya terbang menyeberang padang pasir dan menjatuhkannya lagi. Jatuh ke bumi sebagai hujan, air pun menjelma sungai.”

“Bagaimana aku boleh yakin bahawa itu benar?”

“Memang benar, dan kalau kau tak mempercayainya, kau hanya akan menjadi paya-paya, dan menjadi paya-paya itu pun memerlukan waktu bertahun-tahun, berpuluh tahun. Dan paya-paya itu jelas tak sama dengan sungai, bukan?”

“Tapi, tak dapatlah aku tetap berupa sungai, sama dengan keadaan aku kini?”


“Apa pun juga yang terjadi, kau tidak akan boleh tetap berupa dirimu kini,” bisik suara itu. “ Bahagian intimu dibawa terbang, dan membentuk sungai lagi nanti. Kau disebut sungai juga seperti kini, sebab kau tak tahu bahagian dirimu yang mana inti itu.”

Mendengar hal itu, dalam fikiran Si Sungai mulai muncul gema. Samar-samar, ia ingat akan keadaan ketika ia – atau bahagian dirinya? Berada dalam pelukan angin. Ia juga ingat benar demikiankah? Bahawa hal itulah yang nyatanya terjadi, bukan hal yang harus terjadi.

Dan sungai itu membumbungkan wapnya ke tangan-tangan angin yang terbuka lebar, dan kemudiannya dengan cepat mengangkat dan menerbangkannya, lalu membiarkannya merintik lembut segera setelah mencapai puncak gunung nun di sana yang tak terkira jauhnya. Dan kerana pernah meragukan kebenarannya, sungai itu dapat mengingat-ingat dan mencatat lebih pantas pengalamannya secara terperinci. Ia merenungkannya.

“Ya, kini aku mengenali diriku yang sebenarnya.”

Sungai itu sudah mendapat pelajaran. Namun Si Pasir berbisik, “ Kami tahu sebab kami menyaksikannya hari demi hari, dan kerana kami, pasir ini terbentang mula dari tepi pasir sampai ke gunung.”

Dan itulah sebabnya mengapa dikatakan bahawa cara kehidupan Sungai meneruskan perjalanan tertulis di atas pasir.

CATATAN.

Petikan dari Kumpulan Kisah Nasihat Para Guru Sufi selama Seribu tahun yang lampau.










No comments:

Post a Comment